Berita Utama

Marzuki kata Mukhriz tak bincang Pejuang keluar GTA dengan pucuk pimpinan

Sudah terpesong matlamat asal penubuhan GTA jika bersama Pakatan Harapan

BANGI, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Keputusan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan parti itu keluar Gerakan Tanah Air (GTA) tidak dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi.

Timbalannya, Datuk Marzuki Yahya berkata, Mukhriz hanya mengambil kira pandangan perwakilan pada Perhimpunan Agung Pejuang pada Sabtu lepas.

“Tindakan Mukhriz itu jelas menunjukkan sisi tak matang dalam kepimpinan dengan membuat keputusan yang terburu-buru.

“Saya menerima apa jua keputusan diambil beliau, tetapi Mukhriz harus beri penerangan terperinci mengapa GTA ditubuhkan daripada terus membuat kesimpulan keluar daripada gabungan ini,” kata Marzuki seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata pihaknya tidak setuju sekiranya Mukhriz berhasrat untuk bekerjasama dengan parti lain berikutan ia sudah terpesong daripada matlamat asal penubuhan GTA, contohnya bersama Pakatan Harapan (PH).

“Dalam kita berdepan dengan PH, tidak bermakna kita bercakap soal perkauman, cuma ideologi dan pembawaan di dalam parti, khususnya DAP. Ini akan merugikan orang Melayu pada masa akan datang.”katanya.

Dalam pada itu, Marzuki menjelaskan Mukhriz tidak sewajarnya menyebut untuk bekerjasama dengan parti lain.

“Sebagai parti yang ditubuhkan berdasarkan matlamatnya sendiri, jadi kita tidak seharusnya bercakap soal pilihan lain seperti yang presiden sebut, antaranya bersama PH.

“Sebaliknya yang harus ada adalah memperkasa Pejuang dan GTA untuk perjuangan bangsa Melayu,” katanya.

Sabtu lalu, pada mesyuarat agung kedua parti itu, Mukhriz mengumumkan keputusan membawa parti itu keluar daripada GTA bagi memberikan tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

GTA sebelum ini dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Bagaimanapun pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button