Berita Utama

PAS serah pada peguam isu fail petisyen cabar keputusan PRU15

Babit kerusi Parlimen Gua Musang, Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya empat bekas calon yang kalah kerusi Parlimen kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 telah memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen itu adalah Gua Musang, Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN maklum mengenai empat petisyen yang difailkan baru-baru ini.

“Ini adalah perkara biasa. Mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU15 akan cuba mencabar keputusan itu,” katanya seperti dilapor NST.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, PAS akan menyerahkan kepada peguam parti itu untuk mengambil langkah seterusnya.

Dilaporkan semalam bahawa Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen untuk mencabar keputusan PRU15.  

Petisyen pilihan raya melibatkan tiga kerusi iaitu kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Petisyen itu dibuat berikutan dakwaan rasuah yang dilakukan PN membabitkan tiga kerusi itu semasa PRU15. Pada PRU15, kerusi Parlimen Kemaman ditawan calon PAS Che Alias Hamid, yang menewaskan tiga pencabar lain dengan memperoleh majoriti 27,179 undi.

Kerusi Marang dimenangi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dipertahankan PAS apabila calonnya, Datuk Amzad Hashim memperoleh majoriti 40,907 undi mengalahkan tiga pencabar lain.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah memfailkan petisyen mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen itu pada 3 Januari yang didakwanya melibatkan politik wang.

Pada PRU15, Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan kerusi Gua Musang selepas 12 penggal, apabila tanpa disangka-sangka tewas kepada Mohd Azizi dari Bersatu, yang bertanding di bawah tiket PAS.  

Azizi menang dengan majoriti tipis iaitu 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh memperoleh 21,663 undi.

Difahamkan, satu lagi petisyen untuk mencabar keputusan PRU15 yang dimenangi PAS turut difailkan baru-baru ini. Petisyen itu melibatkan kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button