Qatar, UAE beri amaran permintaan gas asli meningkat masa terdekat
Jumlah terhad, negara Eropah disaran terima kembali gas Russia

ABU DHABI, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Menteri Tenaga Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi amaran dunia memerlukan lebih banyak gas asli dalam masa terdekat, di tengah-tengah krisis tenaga yang semakin meningkat dan peralihan hijau yang berterusan.
Bercakap dalam panel di Sidang Kemuncak Tenaga Global Majlis Atlantik semalam, Menteri Tenaga Qatar, Saad al-Kaabi berkata, walaupun musim sejuk yang sederhana dialami Eropah sejak beberapa bulan lalu telah mengakibatkan penurunan harga tenaga, turun naik dalam pasaran akan kekal untuk beberapa waktu.
Ini kerana ia tidak akan menerima gas dalam kuantiti yang banyak sehingga 2025, katanya.
“Isunya ialah apa yang akan berlaku apabila mereka (Eropah) mahu menambah simpanan mereka pada tahun akan datang dan tahun depan,” katanya.
Saad juga memberitahu wartawan bahawa Qatar mempunyai jumlah terhad gas asli cecair (LNG) untuk dihantar ke Eropah.
Beliau berkata, Qatar – yang masih berusaha untuk mengembangkan pengeluaran gasnya – telah berunding dengan ramai pemain lain di seluruh dunia.
“Terdapat banyak pembeli Eropah dan Asia, dan terdapat potensi bahawa menjelang akhir tahun, keseluruhan pengembangan Qatar akan habis dijual,” kata al-Kaabi.
Menteri Tenaga Qatar itu menyatakan pandangan bahawa negara-negara Eropah dan Barat perlu kembali menerima gas Russia, yang mereka enggan mengimport sejak tahun lepas berikutan pencerobohan berterusan Russia ke atas Ukraine.
Beliau juga mengkritik akibat daripada peralihan tenaga hijau, di mana beberapa negara Barat menekan negara Afrika dan membangun untuk tidak menggerudi minyak dan gas pada masa pengeluaran tenaga domestik adalah penting untuk ekonomi mereka dan dunia.
Tekanan sedemikian, tegasnya, adalah tidak adil.
Sementara itu, Menteri Tenaga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Suhail al-Mazrouei, bersetuju dengan rakan sejawatannya dari Qatar.
“Seluruh dunia perlu memikirkan sumber dan bagaimana untuk membolehkan syarikat mengeluarkan lebih banyak gas untuk menjadikannya tersedia dan berpatutan,” kata Suhail.
Beliau juga mengkritik strategi ‘tidak jelas’ banyak negara yang menyukarkan mereka untuk terikat dengan kontrak gas jangka panjang, yang seterusnya menyukarkan syarikat tenaga mendapatkan pembiayaan untuk melabur dalam pembangunan kapasiti pengeluaran. – Agensi