Berita Utama

Mudarat besar pada negara jika CPTPP dilaksana

Petani, penternak bukan hanya dianak tiri, malah risiko gulung tikar

BANGI, 24 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Pertubuhan PEMBELA memberi amaran mudarat besar boleh berlaku kepada pengeluar, usahawan, petani, penternak dan nelayan sekiranya Perjanjian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) kekal dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan, PEMBELA menegaskan tidak mustahil golongan petani dan penternak bakal dianaktirikan di negara sendiri, malah berisiko gulung tikar selamanya jika CPTPP dilaksana tahun ini.

Bimbang kesan yang berlaku, PEMBELA bakal mengadakan satu sesi diskusi tertutup mengenai CPTPP kepada semua ahli gabungannya malam ini.

Menurut PEMBELA, diskusi bertajuk ‘CPTPP Perjanjian Pangkor 2.0’ yang akan diadakan atas talian pada jam 9 malam itu menampilkan Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Azlan Awang, Pengerusi PEMBELA, Mahmud Hishamuddin dan CEO MTEM, A Yazid Othman.

“Fikir jangka masa panjang, jangan sesekali berikan kunci pintu kebinasaan ekonomi rakyat tempatan.

“Malam ini, PEMBELA akan mengadakan diskusi tertutup demi membantah pelaksanaan CPTPP demi menjaga kemaslahatan ekonomi rakyat terutamanya golongan pengeluar, usahawan, petani, penternak dan nelayan.

“Ayuh bersama-sama kami menentang pelaksanaan CPTPP, jangan biar sejarah ‘Perjanjian Pangkor 2.0’ kembali berulang,” katanya.

Untuk rekod, CPTPP adalah perjanjian perdagangan berkualiti tinggi yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya.

CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan.

Bagaimanapun, perjanjian ini didakwa lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dengan sektor perkhidmatan selain eksport.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button