Berita Utama

Tangguh bicara kes rasuah Zahid isu ‘kecil’, sindir Ahmad Fadhli

Presiden UMNO sudah tentu sibuk tugasan lebih penting

BANGI, 24 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ahmad Fadhli Shaary secara sinis ‘membela’ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mahkamah menetapkan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dijadualkan semula bermula 10 April ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah tentu Ahmad Zahid sibuk dengan tugasan harian yang lebih penting.

“Penangguhan perbicaraan kes rasuah ini sangat kecil dibandingkan tugas untuk negara yang lebih besar.

“Harap media ini dapat betulkan laporan.

“Ayat seperti ‘No reason was given as to why the January and February dates were vacated and replaced with the additional June, July and August dates as mentioned above, as Sequerah agreed to the adjournment’ boleh mendatangkan persepsi yang tidak baik kepada kerajaan kita yang tercinta,” katanya.

Secara sinis lagi, Ahmad Fadhli berkata, rakan-rakan daripada Kerajaan Perpaduan tentunya menyokong hujahan beliau.

“Ambil yang mana sempat,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menetapkan perbicaraan Ahmad Zahid dijalankan selama 27 hari, iaitu lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos depan.

Tarikh-tarikh itu ialah 10 April hingga 13 April, 15 Mei hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai dan Ogos pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button