Trend merisaukan, vape ‘comel’ boleh pengaruhi kanak-kanak
Bahaya! Reka bentuk vape seperti mainan jadi tarikan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 24 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Sekali pandang nampak seperti alat permainan Lego, namun siapa sangka ini antara rekaan vape berbentuk ‘Tiger Pod’ yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa kerana dikhuatiri terpengaruh pada anak-anak.
Walaupun alasan digunapakai pemain industri bahawa rokok elektronik membantu perokok berhenti merokok dan ianya tidak dijual kepada golongan muda, rata-rata netizen mempertikaikan ‘wajah’ vape yang comel itu.
“Trend yang sangat merisaukan. Merata-rata sekarang ini boleh nampak budak sekolah, remaja lelaki dan perempuan hisap vape secara terbuka tak berselindung dah.
“Kalau dah ‘design’ macam ini, budak-budak pun minat nak tengok,” kata pengguna Twitter dikenali sebagai Shafiq Rahman.
Syafiqazmn pula mempertikaikan reka bentuk vape yang dilihat semakin menjadi-jadi ketika ini.
‘Makin menjadi ‘design disposable’ ini.
“Dari rupa air tin, botol air, sekarang mirip benda mainan kanak-kanak. Esok botol susu pula. Elok sangatlah gantung dekat leher,” katanya.
Sementara itu, Ahli Farmasi, Fahmi Hassan menjelaskan setakat ini, cecair nikotin sahaja yang boleh diambil tindakan guna akta racun.
“Tapi pun banyak pemain industri dilindungi atas sebab ekonomi.
‘Nak jual pod, cecair tanpa nikotin, iklan berleluasa semua tak ada akta boleh kawal,” katanya menjawab persoalan mengenai peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam isu ini.
Pakar perubatan sebelum ini mengesahkan bukti saintifik pelbagai pihak telah menunjukkan bahawa penggunaan vape dan rokok elektronik jelas membawa kemudaratan.