Berita Utama

Amaran hujan berterusan hingga Isnin

Luruan monsun dijangka berlaku di timur Semenanjung esok

BANGI, 25 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun yang dijangka berlaku di timur Semenanjung pada esok hingga 23 Januari depan.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan itu berdasarkan analisis model cuaca dan keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang membabitkan Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa dari 19 hingga 22 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah dan barat Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam dalam tempoh ramalan.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 23 Januari 2023,” katanya.

Justeru, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button