Berita Utama

Kor Ming tiada wawasan hingga sanggup terima pakar dari Singapura

Apa jaminan campur tangan kuasa asing tak jejas kedaulatan negara?

BANGI, 25 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming seperti tiada idea dan wawasan apabila bersetuju menerima bantuan pakar Housing Development Board (HDB) dari Singapura.

Meskipun nampak ‘hebat’, hakikat sebenarnya menunjukkan Ahli Parlimen DAP itu sangat bergantung kepada kuasa luar untuk mengajar negara mentadbir dan menyelesaikan masalah pembangunan perumahan, kata Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.

Walhal, Singapura terkenal dengan pelbagai masalah perubahan yang masih belum selesai seperti harga rumah yang tidak mampu dimiliki oleh rakyat mereka, tempoh menunggu yang panjang dan kegagalan untuk mendapatkan rumah flat jenis Built-To-Order (BTO).

“Lantas apa yang nak dibanggakan sangat dengan Singapura?

“Hakikatnya kita tidak ketandusan para pakar tempatan dalam bidang perancangan serta pembangunan bandar dan perumahan di Malaysia.

“Sebenarnya ramai anak tempatan yang terdiri daripada pakar akademik dan pemain industri yang boleh membantu KPKT dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan Kor Ming juga menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding kelegaan.

“Kenapa Nga Kor Ming masih mahu bergantung kepada Singapura? Beliau juga secara jelas menyebut China dan Hong Kong sebagai kiblat yang bakal beliau hadap.

“Adakah menteri kita ni hanya percayakan kepakaran dari bangsa beliau semata-mata?

“Apa jaminan beliau bahawa campur tangan kuasa asing dalam hal perbandaran dan perumahan yang sangat rahsia bagi sesebuah negara ini tidak akan menjejaskan keselamatan dan kedaulatan Malaysia?” soalnya.

Sebelum ini, Kor Ming memaklumkan Kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar mereka bagi berkongsi pengalaman dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya, langkah berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pembangunan perumahan di negara republik itu dengan KPKT.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button