Berita Utama

Pemimpin DAP sanggup telan ludah sendiri harap sokongan UMNO

Jika PH masih berlagak sombong belum tentu jadi kerajaan PRU16

BANGI, 25 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Datuk Nur Jazlan Mohamed menempelak tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyentuh isu sensitif membabitkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata, ketika pucuk pimpinan atasan PH menutup mulut dan berdiam diri kerana lebih memikirkan kedudukan serta kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, pemimpin bawahan pula yang melalak.

“Macamlah dalam DAP sendiri tak ada masalah atau pergolakan seperti pertembungan antara Dinasti Lim dan kumpulan cauvinis Cina. Manakala dalam PKR pula umum sudah mengetahui tentang isu pertembungan arus antara Anwar dan Rafizi. Tapi masing-masing bersikap kunci mulut demi kekuasaan dan jawatan.

“Pemimpin utama DAP memang tahu mereka tak boleh jadi kerajaan macam hari ini kalau hanya harapkan undi daripada bukan Melayu. Sebab itulah pemimpin PH terutamanya DAP nak ‘tackle’ undi Melayu dengan mengharapkan bantuan dan sokongan UMNO sehingga mereka sanggup meludah ke langit serta telan ludah sendiri.

“Mereka tahu tanpa kerjasama dengan UMNO mereka tak dapat bergelar menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Sehingga mereka sanggup akur menerima kuota menteri dan timbalan menteri yang sedikit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nur Jazlan mendakwa, PH dalam diam mengakui sememangnya mereka sudah jauh daripada sokongan pengundi Melayu terutamanya dengan ada DAP dalam gabungan itu.

Dakwanya lagi, survival pihak itu hanya bergantung kepada kerusi majoriti Cina dan kerusi campur untuk menang 80 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau secara sinis berkata, jika PH masih berlagak sombong dan berasa hebat, belum tentu mereka dapat jadi kerajaan lagi sekali selepas PRU16.

“Ketika kepimpinan UMNO dan ahli akar umbi parti sudah mula berlapang dan terpaksa menelan segala prejudis menerima kerjasama antara UMNO dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, sepatutnya pemimpin serta ahli-ahli DAP, PKR dan Amanah juga kena terus ‘berpura-pura’ menerima gabungan politik baru ini.

“Jangan tiru sikap kumpulan penentang minoriti dalam UMNO yang sentiasa cari jalan untuk pecahkan parti dan meneruskan agenda kerjasama dengan PN. Sebab itulah mereka sanggup buka cerita dalam kain seperti surat SD dan aku janji calon PRU15 lalu.

“Mereka bocorkan dan viralkan surat-surat berkenaan dengan tujuan mahu memburukkan imej Presiden dan parti UMNO. Saya percaya parti lain seperti DAP pun ada surat SD dan aku janji mereka sendiri tapi mereka tak ada sibuk-sibuk nak dedahkan kepada umum. Mereka tahu jaga hal ehwal rumah tangga sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button