Lubnan pinjam AS$116 juta atasi gangguan elektrik
Sejumlah AS$54 juta diperuntuk untuk kerja selenggara

BEIRUT, 26 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Kerajaan sementara Lubnan pada Rabu membenarkan pinjaman berjumlah AS$116 juta untuk membaiki grid elektrik negara, lapor Agensi Anadolu.
Perdana Menterinya, Najib Mikati berkata, pendahuluan sebanyak AS$62 juta telah diluluskan untuk diperuntukkan kepada sektor elektrik negara itu.
Katanya, sejumlah AS$54 juta juga diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
“Jika kita tidak bersetuju mengenai perkara ini, kita tidak akan mempunyai apa-apa bahan api menjelang akhir minggu, terutamanya dengan kelewatan bahan api Iraq tiba.
“Saya percaya jika kita berjaya menyelesaikan krisis elektrik, walaupun saya tahu kita masih di peringkat awal, kita akan menyelesaikan lebih 50 peratus masalah rakyat Lubnan,” kata Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat.
Sementara itu, pengerusi syarikat elektrik negeri Lubnan, Kamal Hayek memberitahu pemberita bahawa syarikat lumpuh itu mempunyai 800 bilion pound Lubnan di bank pusat.
Namun, katanya, wang itu telah kehilangan nilai ketara semasa krisis ekonomi akibat penurunan nilai mata wang negara yang berterusan, menurun daripada lebih $500 juta sebelum krisis kepada kira-kira $16 juta.
Beliau menggesa bank pusat untuk membenarkan mereka menukar wang itu kepada dolar supaya ia boleh dibelanjakan untuk syarikat itu. Pound Lubnan telah kehilangan lebih 90 peratus daripada nilainya berbanding dolar AS sejak 2019.
Terdahulu, dua loji janakuasa utama Lubnan kerap kali berdepan kerosakan yang memerlukan penyelenggaraan khusus.
Isnin lalu, Menteri Tenaga Lubnan, Walid Fayad mengumumkan satu inisiatif untuk menyelesaikan gangguan bekalan elektrik yang serius di negara itu dengan kos AS$600 juta dalam tempoh lima bulan.
Fayad berkata, jumlah itu adalah untuk meningkatkan bekalan elektrik di Lubnan kepada 10 jam sehari.
Sejak 2019, Lubnan dibelenggu krisis ekonomi yang melumpuhkan dan dianggap oleh Bank Dunia sebagai kemelut paling teruk pernah dilihat di dunia pada zaman moden. – Agensi