PRN: UMNO lemah di 6 negeri, sukar tuntut kerusi
Retak dalam parti semakin besar apabila wujud pecahan dua kumpulan

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 26 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Masih terlalu awal untuk menilai sama ada langkah kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) mampu memberikan keuntungan kepada parti itu, memandangkan Kabinet yang ‘dicanang’ sebagai Kerajaan Perpaduan baru sahaja ditubuhkan.
Bagaimanapun, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpendapat, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini, boleh menjadi penanda aras untuk menilai kesan kerjasama itu.
Beliau berkata, penilaian sama ada kerjasama UMNO dan PH menguntungkan parti itu atau sebaliknya mungkin dapat dilihat selepas keputusan PRN di enam negeri.
“Kalau lihat sebelum PAU 2022 (Perhimpunan Agung UMNO), sepatutnya tiga negeri yang dikuasai PAS itu seharusnya UMNO boleh mendapat kerusi terbanyak.
“Ini kerana, kalau nak dibandingkan antara UMNO, PKR atau Amanah, UMNO mempunyai kekuatan untuk menarik undi pengundi Melayu. Ini adalah teorinya,” katanya dalam temubual rancangan Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.
Namun, menurut Dr Azmi, selepas PAU 2022 lalu, retak di dalam UMNO itu dilihat semakin besar apabila wujud pecahan dua kumpulan sehingga menyebabkan parti itu kehilangan ‘bargaining power’ dalam pemilihan kerusi terutama di Kedah, Kelantan serta Terengganu.
“Di kerusi-kerusi negeri yang dikuasai PH, memang UMNO-BN dalam hal ini terpaksa menerima atau sukar untuk mereka menentukan mahu kerusi-kerusi tertentu kerana PH berbanding BN berada dalam keadaan lebih kuat.
“Jadi, maksudnya dalam keadaan sekarang, UMNO mempunyai kekuatan yang kurang dalam menentukan kerusi tidak kira di tiga negeri dikuasai PAS atau tiga negeri PH, kerana BN berada pada kedudukan agak tersepit,” katanya.
Atas sebab itu, beliau berpandangan bahawa UMNO mempunyai kedudukan yang agak lemah di enam negeri terbabit, maka untuk parti itu tuntut sejumlah kerusi pada PRN mungkin sukar.
Tonton Dimensi;