RM40 juta diperuntuk untuk tol percuma sempena Tahun Baru Cina
Pengguna dinasihat rancang perjalanan, patuhi jadual waktu disyorkan

BANGI, 26 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Inisiatif pemberian tol percuma sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 20 dan 21 Januari ini, membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM40 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif yang telah dipersetujui oleh kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu, dilaksanakan sebagai meraikan semua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina.
Katanya, ia juga adalah bertepatan dengan konsep Masyarakat Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.
“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuhraya yang bermula pada jam 12 tengah malam, 20 Januari 2023 (Jumaat) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 21 Januari 2023 (Sabtu).
“Pelaksanaan tol percuma ini juga adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam menyambut kemeriahan perayaan Tahun Baru Cina yang merupakan simbolik kepada titik permulaan dalam kehidupan masyarakat Cina setiap tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Melalui pelaksanaan diskaun tol itu, Alexander berharap pengguna lebuhraya dapat memanfaatkan peluang sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan.
“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuhraya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi,” katanya.