Bahana nikah sindiket: Khutbah
Beri kesan pada pendaftaran kelahiran anak, pengurusan harta pusaka

BANGI, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Khutbah Jumaat di negeri Selangor hari ini berpesan kepada masyarakat mengenai kesan buruk pernikahan yang dijalankan tanpa kebenaran atau yang disebut sebagai ‘nikah sindiket’.
Dalam teks khutbah disediakan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor menegaskan, terlalu banyak masalah yang akan timbul akibat bernikah di luar negara tanpa kebenaran, termasuk membawa kepada pembubaran pernikahan itu sendiri.
“Habis fikirkah kita akan baik buruknya, bersediakah kita untuk menguruskan semula pendaftaran perkahwinan di negara ini, bersediakah kita menghadapi pelbagai masalah yang biasanya akan membawa tekanan dalam kehidupan berumah tangga?
“Atau adakah kita tidak peduli langsung dengan apa yang akan terjadi asalkan kehendak kita tercapai sehinggakan ada yang berani melanggar syariat Allah SWT dan undang-undang!
“Wahai muslimin! Berfikirlah dengan minda yang waras serta hati yang jernih serta tawaduk sebelum kita cuba ingin melakukannya,” katanya.
Khutbah berkata, antara bahana nikah luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan secara sindiket adalah proses pendaftaran pernikahan tersebut akan memakan masa yang panjang.
Ini kerana, ia melibatkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula kerana melibatkan pengesahan daripada mahkamah malah akan bertambah rumit sekiranya dokumen yang dikemukakan tidak mencukupi atau palsu.
“Jika tidak didaftarkan, maka tiada Surat Perakuan Nikah yang benar akan diperolehi dan kita harus sedar Surat Perakuan Nikah sangat penting dalam kehidupan kita sebagai suami isteri.
“Tanpanya kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan.
“Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak juga akan bermasalah jika tidak mendapat status warganegara,” katanya.
Selain itu, pengurusan harta pusaka juga akan turut terkesan kerana pihak yang berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.
“Pelbagai tuntutan di mahkamah seperti tuntutan perceraian, pengesahtarafan anak, tuntutan nafkah, tuntutan hadhanah, tuntutan keadilan berpoligami antara isteri-isteri, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya tidak dapat diuruskan juga disebabkan gagalnya mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
“Harus diingat juga, bahana yang sangat memeritkan adalah apabila mahkamah mendapati pernikahan yang dijalankan di luar negara adalah tidak sah kerana tidak menepati Hukum Syarak, maka pernikahan yang berlaku akan difaraqkan atau dibubarkan,” katanya.
Pada masa sama, khatib menegaskan bahawa, tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 boleh dikenakan kerana bernikah tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda RM1000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Antara kesalahan-kesalahan yang akan dikenakan denda seperti yang disebutkan juga adalah kesalahan Seksyen 124 poligami tanpa kebenaran, Seksyen 40 akad nikah tanpa kebenaran, Seksyen 31 lewat mendaftar perkahwinan dan Seksyen 134 bersubahat melakukan pernikahan,” katanya.
Sehubungan itu, khutbah Jumaat mengingatkan bahawa pernikahan yang hendak dilaksanakan mestilah mengikut Hukum Syarak.
Tegasnya, pernikahan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan akan membawa kepada pelbagai masalah, sekali gus akan merugikan banyak pihak terutamanya suami isteri kerana tidak mempunyai Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
“Undang-undang yang dibuat bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa akan datang,” katanya.