Pendapat

Filem ‘Pulau’: Adakah panduan Islam dianggap ekstrem?

Kemuliaan wanita dipelihara bukan ditelanjangkan tubuh untuk tatapan awam

1. SETELAH banyak aduan diangkat ke pihak berautoriti mengenai kerosakan yang di bawa oleh filem ‘Pulau’, ada pula NGO yang menyatakan bahawa pendirian untuk menolak aksi bercumbu dan berbikini itu akan membawa kepada ekstremisme.

2. Malaysiakini melaporkan bahawa wakil NGO Pertubuhan Pertolongan Wanita (Woman Aid Organization) menyatakan: “pandangan sebegini mengenai badan wanita, seksualiti dan penapisan adalah kemerosotan menuju ekstremisme.”

3. Pada hakikatnya bantahan yang dibuat oleh orang ramai adalah berdasarkan panduan Islam itu sendiri. Adegan terlalu seksi dan plot bercumbuan adalah sangat tidak wajar ditayangkan apatah lagi Perdana Menteri baru sahaja melaungkan konsep Karamah Insaniyah (kemuliaan insan).

4. Kemuliaan wanita itu dipelihara, bukan ditelanjangkan tubuhnya untuk tatapan awam. Dalam al-Quran Allah memerintahkan memelihara hak wanita dan menjaga aurat mereka.  Agak menghairankan bagaimana NGO hak asasi wanita itu sendiri membiarkan tubuh wanita dijadikan material dagangan.

5. Ingatkah kita pada 28 Januari 2018 dahulu, Berita Harian melaporkan seramai 13 pekerja hotel 88 hotel di Malaysia telah melarang wanita Muslimah mereka dari memakai tudung atas alasan ‘standard grooming’.

5.1 Ketika kumpulan wanita Muslimah ini berusaha mencari rezeki yang halal, tiada pula kedengaran gerakan NGO atau pemikir liberal seperti ini bersungguh-sungguh melaungkan hak asasi kemanusiaan atau bersungguh membela nasib wanita muslimah untuk memelihara aurat mereka. Namun apabila ada adegan seksi, di situ pula mereka hadir mempertahankan isu wanita. 

6. Apa yang lebih menyedihkan, pendirian yang berteraskan al-Quran ini pula disifatkan sebagai ‘kemerosotan’ dan ‘ekstremisme’. Inilah dia bahana yang di bawa oleh pemikiran liberalisme dan feminisme yang menyalut ajaran Islam dengan konotasi negatif.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button