Isu telur: Bekalan domestik tak pulih tapi eksport tiada masalah
KPDN diminta telus jelaskan faktor sebenar bekalan tak cukup

TASEK GELUGOR, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Isu bekalan domestik telur ayam yang masih belum pulih sehingga kini memerlukan penjelasan segera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya musykil dengan bekalan domestik yang sering mengalami gangguan sedangkan bekalan telur untuk eksport tidak bermasalah.
Beliau menggesa KPDN menjelaskan jumlah sebenar eksport telur ayam ke luar negara dan juga jumlah keseluruhan pengeluaran telur bagi lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan supaya penilaian dapat dibuat.
“Mengikut perangkaan ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), kadar pengeluaran telur negara pada 2021 adalah hampir 14 bilion biji dan ini jumlah yang besar.
“Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia sebanyak 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti yang diberitahu KPDN, jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.
“Maksudnya, pengeluaran 14 bilion biji dan penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Wan Saiful meminta kementerian bersikap telus dalam perkara ini dan menjelaskan faktor sebenar bekalan domestik tidak mencukupi.
“Jangan sembunyikan fakta dan jangan cuba lindungi sesiapa. Selain itu, perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) dan apakah benar jaminan Fuziah Salleh (Timbalan Menteri KPDN) bahawa dalam masa dua bulan lagi bekalan telur akan pulih.
“Adakah AP ini akan dihentikan pada April kerana kita tidak mahu ada pula kroni baharu mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat,” katanya.