Berita Utama

KJ puji dua ahli UMNO serah notis bantah usul tambahan PAU 2022

Yakin kredibiliti RoS buat semakan usul babit dua jawatan utama

BANGI, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Khairy Jamaluddin yakin Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan seperti diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, baru-baru ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas Ketua Pemuda UMNO berkenaan susulan tindakan dua ahli parti menghantar notis bantahan keputusan PAU 2022 kepada RoS hari ini.

Mereka mendesak RoS meneliti laporan persidangan PAU 2022 yang mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir berkata, perkara itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Turut bersama beliau menghantar surat aduan kepada RoS ialah Ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

Memuji langkah itu, Khairy berkata, tindakan yang diambil kedua-dua individu tersebut menunjukkan masih ada ahli UMNO di dalam parti berkenaan yang waras.

“Well done (bagus). Ada yang masih berani dan waras dalam UMNO.

“Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk membuat semakan terhadap usul Rembau di PAU,” katanya menerusi hantaran Instagram (IG) Story, hari ini.

PAU 2022 sebelum ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.

Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button