Berita UtamaDunia

Korea Selatan mansuh guna pelitup muka di tempat tertutup

Kelonggaran tak terpakai untuk pengangkutan awam, fasiliti perubatan

SEOUL, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Korea Selatan akan menamatkan peraturan pemakaian pelitup muka di kebanyakan kawasan tertutup hujung bulan ini.

Perdana Menterinya, Han Duck-soo bagaimanapun berkata, pemakaian pelitup muka masih diperlukan di dalam pengangkutan awam dan fasiliti perubatan.

“Jumlah jangkitan baharu harian terus berkurangan dan walaupun ada kebimbangan mengenai lonjakan kes di China, keadaan di negara ini masih terkawal tanpa masalah besar,” katanya dalam mesyuarat tindak balas COVID-19 pada Jumaat.

Sebelum ini, Korea Selatan mewajibkan pelawat yang tiba dari China untuk menjalani ujian COVID-19, selepas Beijing menamatkan dasar ketat sifar COVID-19.

Pengumuman hari ini dibuat setelah genap tiga tahun Korea Selatan melaporkan wabak pertama jangkitan COVID-19 pada 20 Januari 2020 dan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di mana kebanyakan penduduknya akan pulang ke kampung halaman.

Duck-soo memberi peringatan bahawa kelonggaran peraturan pemakaian pelitup muka menjelang sambutan itu berisiko melonjakkan sementara kes baharu, sekali gus menggesa pihak berkuasa kesihatan kekal berwaspada dan memberi tumpuan pada golongan berisiko.

Korea Selatan sudah menamatkan kebanyakan langkah berjaga-jaga berkaitan pandemik, namun masih mengekalkan peraturan pengasingan selama tujuh hari bagi individu yang positif COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button