Berita UtamaDunia

Lelaki Palestin dibebaskan setelah 40 tahun di penjara Israel

Maher Younis banduan paling lama dalam tahanan selepas terlepas penjara seumur hidup

NEGEV, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Pihak berkuasa pendudukan Israel membebaskan tahanan Palestin, Maher Younis pada awal pagi Khamis, selepas 40 tahun dipenjarakan.

Maher, 63, adalah antara tahanan Palestin paling lama ditahan oleh pendudukan Israel.

Dia dibebaskan dari penjara di Negev untuk pulang ke rumahnya di bandar A’ra di segi tiga utara di wilayah Palestin yang diduduki. 

“Kami mendoakan kebebasan semua banduan dan berharap dapat melihat mereka dalam keadaan sihat.

“Hadiah terbaik untuk rakyat Palestin adalah untuk kita berada di jalan perdamaian dan dibebaskan sepenuhnya. Harapan saya adalah untuk melihat tanah air saya dibebaskan selepas 40 tahun,” kata Maher dalam kenyataan awam pertamanya.

Pembebasan itu dihargai secara meluas, namun Israel melarang sebarang perayaan dan sambutan ke atas hari yang dianggap bersejarah berkenaan. 

Menerusi satu foto memaparkan pasukan pendudukan mengelilingi rumahnya untuk menghalang sebarang khemah perayaan didirikan.  

Menteri Keselamatan Negara sayap kanan yang melampau, Itamar Ben-Gvir, telah menegaskan larangan mengibarkan bendera Palestin sebagai perayaan pembebasan tahanan.

Bagaimanapun, Karim Younis – sepupu Maher – mencabar larangan itu dengan mengatakan bahawa orang ramai akan mengadakan perayaan yang layak untuknya.  

Seorang lagi saudaranya, Nadim Younis berkata, bilangan orang yang datang ke kampung untuk mengucapkan tahniah kepada banduan yang dibebaskan semakin bertambah, walaupun bekas banduan itu masih belum sampai ke rumahnya.  

Namun begitu, orang ramai bersiap sedia untuk menyambut Maher.

Dalam temu bualnya dengan Arabi 21, Nadim Younis berkata, polis pendudukan Israel yang ditempatkan di kawasan itu sedang bersiap sedia untuk menghalang sebarang perayaan tahanan dan menghalang orang ramai daripada bermain muzik atau mendirikan khemah perayaan.

Maher menyertai pergerakan Fatah sebagai seorang lelaki muda dan dituduh membunuh seorang askar pendudukan serta didakwa memiliki senjata secara haram.  

Berikutan penahanannya pada 1983, dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati, bersama sepupunya Karim dan Sami Younis. Hukuman itu dikurangkan atas rayuan kepada penjara seumur hidup.  

Pada 2012, Karim dan Maher mengambil tindakan undang-undang dan berjaya mengurangkan tempoh penjara daripada seumur hidup kepada 40 tahun.

Sekatan yang dikenakan ke atas Maher Younis di penjara bermakna dia telah dinafikan kebenaran untuk berjumpa bapanya sebelum meninggal dunia pada 2008. Selain itu, dia dihalang daripada bertemu sepupunya semasa menjalani hukuman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button