Berita UtamaDunia

Musim sejuk terburuk di Afghanistan ragut 78 nyawa

Larangan pekerja NGO wanita jejas usaha salur bantuan

KABUL, 27 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 78 orang mati kesejukan di Afghanistan susulan musim sejuk terburuk di negara itu sejak lebih sedekad.

Pihak berkuasa pada Khamis berkata, kematian direkodkan di lapan daripada 34 wilayah negara itu.

Musim sejuk paling terburuk dalam tempoh 15 tahun, yang menyaksikan suhu merosot serendah -34 darjah Celsius (-29.2 darjah Fahrenheit) melanda Afghanistan di tengah-tengah krisis ekonomi yang teruk.

“Cuaca akan menjadi lebih sejuk dalam beberapa hari akan datang, oleh itu perlu mempertimbangkan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang terjejas,” kata Ketua Pusat Operasi bagi keadaan kecemasan di Kementerian Pengurusan Bencana, Abdullah Ahmadi.

Minggu lalu, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan di Asia dan Pasifik (UNOCHA) berkata, sekatan terhadap pekerja wanita menghalang usaha untuk menyampaikan bantuan.

“Rakan kongsi kemanusiaan menyediakan sokongan musim sejuk kepada keluarga, termasuk pemanasan, wang tunai untuk minyak dan pakaian hangat, tetapi pengedaran terjejas teruk oleh … larangan ke atas pekerja bantuan NGO wanita,” katanya.

Malah pada awal musim sejuk, pekerja kesihatan melaporkan peningkatan mendadak dalam jumlah kanak-kanak yang menderita kes serius radang paru-paru dan penyakit pernafasan lain.

Sebahagiannya disebabkan oleh kemiskinan yang semakin serius menyebabkan orang ramai tidak dapat memanaskan rumah mereka.

Kira-kira 77,000 ternakan juga mati dalam tempoh sembilan hari lalu, sekali gus mengancam untuk meningkatkan ketidakamanan makanan negara.

“Kehilangan mata pencarian dan aset seterusnya membahayakan keluarga Afghanistan pada masa 21.2 juta orang memerlukan bantuan makanan dan pertanian yang berterusan,” kata UNOCHA di Twitter. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button