Berita Utama

Puad tempelak KJ puji tindakan ahli UMNO rujuk RoS

'Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri'

BANGI, 28 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Datuk Dr Puad Zarkashi menempelak pujian diberikan Khairy Jamaluddin kepada dua ahli parti UMNO yang mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya membuat semakan berhubung isu dua jawatan tertinggi UMNO yang tidak dipertandingkan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu mempersoal sama ada tindakan itu adalah satu keberanian atau ahli terbabit hanya dipergunakan.

“KJ puji dua ahli UMNO yang buat aduan ke RoS sebagai berani dan waras. Ia berkaitan usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua.

“Berani atau dipergunakan?” soalnya.

Pada masa sama, beliau juga secara sinis menegur pemimpin tertentu supaya tidak menggunakan orang bawahan untuk menjayakan agenda mereka.

“Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya.

“Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?” soalnya.

Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menyambut baik tindakan berani dua ahli parti itu yang mengemukakan aduan kepada RoS supaya membuat semakan berkait isu usul tambahan.

Beliau menganggap mereka yang membuat laporan berkenaan sebagai ahli UMNO yang menjadi berani dan waras.

Bahkan, bekas Menteri Kesihatan itu yakin RoS akan mengambil tindakan sewajarnya susulan aduan yang dikemukakan.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/01/20/kj-puji-dua-ahli-umno-serah-notis-bantah-usul-tambahan-pau-2022/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button