Kenyataan Hadi Awang bukti berlaku pemberian wang pada PRU15
'PAS dah banyak berubah, sanggup buat apa saja demi kuasa'

BANGI, 29 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang seolah-olah mengiyakan dakwaan pemberian wang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ia susulan tindakan Ahli Parlimen Marang itu mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia sebagai sedekah.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mendakwa, kenyataan Presiden PAS dengan sendiri membuktikan bahawa memang berlaku pemberian wang ketika PRU15.
“Kemudian mereka cuba ‘menghalalkan’ apa sahaja perbuatan mereka yang ternyata salah dari segi peraturan. Lebih membahayakan mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih.
“Inilah budaya dan sikap PAS sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” bidasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam Abdul Hadi berkata, pemberian wang kepada rakyat adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.
Katanya, undang-undang hanya menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon PAS.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, PAS menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15, dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.
Dalam pada itu, Shamsul mendakwa bahawa PAS kini sudah banyak berubah.
Dakwanya, kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi PAS dan kerana itu prinsip, pendirian serta pegangan parti berkenaan akan berubah.
“PAS sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” katanya.