Berita Utama

Saranan boikot hanya susahkan peniaga makanan: Ismail Sabri

Kerajaan patut bertanggungjawab tangani, bukan bersikap lepas tangan

BANGI, 29 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Kerajaan sepatutnya bertanggungjawab menangani isu berkaitan harga barangan dan makanan, bukan bersikap lepas tangan atau menghukum golongan peniaga.

Justeru, saranan pihak tertentu supaya memboikot peniaga kedai makan yang tidak mahu menurunkan harga makanan bukan penyelesaian kepada masalah, sebaliknya bakal menyusahkan lagi golongan berkenaan, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan tahun arnab, saya berharap Malaysia lebih cergas dari segi ekonomi dan perkembangan ekonomi lebih baik berbanding tahun lepas. Dari segi kos sara hidup dapat dikurangkan kerana rakyat mengadu tentang kos sara hidup yang tidak menentu.

“Malah hari ini, saya dapat tahu dari laporan media tentang harga makanan meningkat, boikot kedai makan. Jadi perkara ini atau kenyataan seperti ini tidak membantu rakyat, bahkan lebih menyusahkan peniaga di restoran,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, bukan perkara pelik sekiranya peniaga menaikkan harga sekiranya kos bahan mentah meningkat.

“Kalau bahan mentah meningkat, ayam harganya mahal, sayur mahal, ikan harga mahal, pasti peniaga di restoran menaikkan harga.

“Kalau kita boikot peniaga, kita akan lebih menyusahkan peniaga dan tak membantu mereka,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.

Beliau berkata, kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.

Selain itu, Timbalan Presiden PKR juga menyarankan pengguna bertindak lebih proaktif terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak daripada berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button