Berita UtamaDunia

Turkiye batal lawatan menteri Sweden kerana protes Islamofobia

Tindakan melampau ahli politik bakar al-Quran, serang Islam

ANKARA, 29 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Turkiye membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden ke Ankara berikutan keputusan negara itu membenarkan protes berlaku di luar kedutaan Turkiye di Stockholm.

Sebelum ini, ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan mendapat kebenaran untuk mengadakan tunjuk perasaan di luar kedutaan Turkiye di ibu negara Sweden, yang mana dia menyatakan hasrat untuk ‘membakar al-Quran’.

Menurut wartawan AFP, protes itu diteruskan seperti yang dirancang pada Sabtu di bawah kawalan ketat pihak polis.

Kira-kira 100 orang – termasuk sejumlah besar wartawan – berkumpul berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm.

Rasmus membakar kitab suci itu dengan pemetik api diikuti kecaman hampir sejam di mana dia menyerang Islam dan imigresen di Sweden.

“Jika anda tidak fikir perlu ada kebebasan bersuara, anda perlu tinggal di tempat lain,” katanya.

Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom menyifatkan provokasi Islamofobia itu adalah mengerikan.

“Sweden mempunyai kebebasan bersuara yang meluas, tetapi ia tidak membayangkan bahawa Kerajaan Sweden atau saya sendiri, menyokong pendapat yang dinyatakan,” katanya menerusi akaun Twitter.

Tahun lalu, rusuhan ganas berlaku di seluruh Sweden selepas Rasmus mengisytiharkan ‘lawatan’ ke Sweden merancang untuk melawat bandar dan pekan dengan populasi Islam yang besar dengan niat membakar naskhah al-Quran ketika bulan suci Ramadan.

Pada 2020, dia dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas menyiarkan video anti-Islam di media sosial rasmi partinya.

Walaupun Rasmus telah membuat rayuan terhadap sabitan itu, Mahkamah Tinggi Denmark masih mengekalkan keputusan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button