16 maut bangunan lima tingkat runtuh di Syria
Insiden dipercayai berlaku akibat kebocoran air pada asas bangunan

ALEPPO, 1 Rejab 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas bangunan kediaman runtuh di bandar Aleppo di Syria, semalam.
Menurut agensi berita negara, Sana, bangunan lima tingkat itu runtuh di kejiranan Sheikh Maqsoud di bandar kedua terbesar di Syria.
AFP yang memetik agensi berita Kurdish berkata, lima kanak-kanak adalah antara yang maut.
Sumber dalam pentadbiran awam Aleppo berkata, insiden itu berlaku akibat kebocoran air ke dalam asas bangunan.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di UK, semua mangsa yang maut adalah warga Syria yang dipindahkan secara dalaman dari bandar Afrin di utara berhampiran.
Sumber berkata, bangunan itu menempatkan lima keluarga, yang kebanyakannya tersepit di bawah runtuhan.
Katanya, pekerja kecemasan berjaya menyelamatkan seorang remaja berusia 15 tahun.
Sejak permulaan perang Syria pada 2011, kira-kira 250,000 orang awam terbunuh dan sekurang-kurangnya 14 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Pada September lalu, 10 orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak selepas bangunan lima tingkat runtuh di kawasan kejiranan Ferdaws di Aleppo. – Agensi