Ahli politik Sweden salah guna prinsip kebebasan bersuara
Malaysia tentang keras sebarang bentuk keganasan, kebencian melampau terhadap Islam

BANGI, 1 Rejab 1444H, Isnin – Tindakan biadab ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskah al-Quran di Stockholm, Sabtu lalu mesti dibantah kerana menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara.
Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa pemerintah Sweden supaya mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif yang bertujuan mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.
Menterinya, Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekerasnya tindakan Paludan itu juga membuktikan kesungguhan Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan serta kebencian khususnya Islamofobia.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Paludan – tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs – bertindak melampau membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.
Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.
Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan kurang ajar pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau.