Berita Utama

KPKT rujuk dasar perumahan mampu milik Singapura sebagai contoh

Cadang kongsi ilmu dengan pakar Singapura perkukuh strategi pembangunan

BANGI, 1 Rejab 1444H, Isnin – Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari dasar Madani supaya dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia.

Melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) percaya sasaran untuk penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 akan berjaya menerusi kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri serta pemaju swasta.

Kementerian itu menyatakan kesediaan mengkaji inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu dan memudahcarakan semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan.

Katanya, ia supaya dapat memberi ruang kepada pemaju swasta bergiat aktif untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti serta selesa untuk rakyat.

“KPKT sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam.

“Justeru, KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam/sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian itu berkata, ini membolehkan Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak mengambil kira keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia.

“Mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik Singapura, KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada negara tersebut bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button