Berita UtamaDunia

Jepun rangka insentif sokongan tangani isu kadar kelahiran

Penduduk berkurang beri implikasi besar pada ekonomi, keselamatan negara

TOKYO, 2 Rejab 1444H, Selasa – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberi jaminan akan menangani isu kadar kelahiran yang semakin berkurangan di negara itu.

Menyifatkan masalah itu sebagai kritikal, Kishida berkata, isu berkenaan memerlukan usaha yang padu untuk menyelesaikannya.

Katanya Jepun kini berada dalam keadaan kritikal berikutan jumlah kelahiran berkurangan sehingga di bawah 800,000 orang pada tahun lalu.

“Jepun berada di ambang sama ada boleh terus berfungsi sebagai sebuah masyarakat.

“Kita tidak boleh membuang masa dengan polisi yang sedia ada dan kita mesti mewujudkan masyarakat ekonomi yang mengutamakan kanak-kanak dan mengubah kadar kelahiran.” katanya.

Katanya, Jepun kini mempunyai 125 juta penduduk namun jumlah berkenaan dijangka akan berkurangan kepada 86.7 juta menjelang 2060.

Penduduk yang semakin berkurangan dan semakin tua mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi dan keselamatan negara.

Malah, data Bank Dunia menunjukkan Jepun kini negara kedua tertinggi di dunia yang mempunyai penduduk berumur 65 tahun ke atas – kira-kira 28 peratus selepas negara kecil, Monaco.

Justeru, dalam menangani masalah itu, Kishida berikrar untuk meningkatkan sokongan kewangan bagi keluarga yang mempunyai anak, termasuk menyalurkan lebih banyak insentif lain dan menyusun strategi baharu.

“Kerajaan perlu menggandakan perbelanjaannya untuk program berkaitan kanak-kanak.

“Kita mesti membina ekonomi sosial yang mengutamakan kanak-kanak untuk membalikkan kadar kelahiran rendah itu,” katanya.

Kadar kelahiran semakin perlahan di banyak negara disebabkan faktor peningkatan kos sara hidup dan lebih ramai wanita mendahulukan kerjaya dan memilih untuk mendapatkan anak kemudian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button