Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PH belum bincang secara rasmi pembahagian kerusi dengan BN

Tiada halangan untuk pimpinan parti di peringkat negeri adakan perbincangan

BUKIT MERTAJAM, 2 Rejab 1444H, Selasa – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan datang.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PH berkata, tiada halangan untuk pimpinan parti itu di peringkat negeri bagi mengadakan perbincangan dengan BN berhubung perkara tersebut.

“Perbincangan pembahagian kerusi dengan BN secara rasmi belum, walaupun saya tidak menghalang pimpinan di peringkat negeri mengadakan perbincangan, perbincangan secara rasmi itu belum dimulakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri di Cherok Tok Kun, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PH dan BN telah mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilaporkan berkata PH sudah memulakan perbincangan bersama BN mengenai kerjasama dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi tetapi ia berlangsung secara tidak rasmi.

Sementara itu, Anwar berkata beliau tidak akan mencampuri urusan PAS yang mahu menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya PRN di tiga negeri ditadbir PAS tidak diadakan serentak dengan tiga negeri yang ditadbir PH (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan), ia mungkin menyebabkan kos keseluruhan PRN di keenam-enam negeri berkenaan meningkat.

“Itu hak mereka masing-masing dan dia rujuk dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bukan urusan saya, cuma kos untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan itu tentunya akan jauh meningkat,” katanya.

Baru-baru ini Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu. –BERNAMA

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button