Berita Utama

Syor terbit dokumen dasar pelaksanaan Malaysia Madani: Cuepacs

Slogan, tema tak memadai jika tidak diterjemah pada pelan tindakan

BANGI, 2 Rejab 1444H, Selasa – Kerajaan wajar menyedia dan menerbitkan dokumen dasar berkaitan pelaksanaan slogan Malaysia Madani selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan berkenaan disuarakan Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat yang menyifatkan slogan atau tema tidak memadai jika tidak diterjemahkan kepada pelan tindakan dan pelaksanaan bagi membolehkan konsep digariskan Anwar dapat direalisasikan.

Beliau berkata, dokumen itu penting dalam memastikan setiap kementerian dan agensi kerajaan dapat mendukung konsep berkenaan serta memudahkan pemantauan atau keberkesanan tindakan setiap jabatan.

“Setiap Perdana Menteri akan memperkenalkan slogan dan tema masing-masing. Sebelum ‘Malaysia Madani’, slogan atau tema ‘Keluarga Malaysia’, ‘Malaysia Prihatin’ dan ‘Malaysia Baharu’ turut diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

“Perubahan slogan atau tema yang kerap kali bertukar kerana dokumen dasar seperti yang disemak ketika ini iaitu Kajian Separuh Penggal RMK 12 perlu dicetak dengan perubahan kepada konsep bersesuaian dengan Malaysia Madani.

“Konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan kepada sektor awam terlebih dahulu kerana sektor ini adalah jentera penggerak utama dasar kerajaan. Di peringkat sektor awam, selain isu gaji, isu berkaitan dengan pembangunan modal insan, pengagihan adil dan kebajikan perlu diambil perhatian,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, dalam merealisasikan konsep berkenaan, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah tonggak kedua Madani iaitu kesejahteraan rakyat.

“Terutamanya rakyat yang berada dalam B40 serta sebahagian M40 yang sedang bergelut dengan kos sara hidup akibat pendapatan yang meningkat dengan perlahan.

“Jadi sebuah kerajaan yang mendukung konsep Madani perlu mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan dan menggalakkan perkongsian keuntungan antara majikan dan pekerja.

“Pengalaman kerap bertukar kerajaan sebelum ini juga digunakan dalam memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya tanpa gangguan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button