Artikel KhasUncategorized

4 sebab kenapa filem seram Pulau patut diharamkan

Menggalakkan dan menormalisasi lagi tingkah laku seksual

TIDAK cukup sekadar menapis atau memotong babak-babak persetubuhan dari filem ini. Filem ini patut diharamkan terus dan pengarah serta para pelakonnya malah perlu membuat permohonan maaf secara terbuka. Ia bukan sekadar “HANYA SEBUAH FILEM SAHAJA PUN” kerana hiburan tidak pernah berhenti setakat “UNTUK BERSUKA-SUKA SAHAJA”.

Sesebuah flem boleh membentuk satu realiti sosial, menormalisasikan tingkahlaku dan mempengaruhi para penonton tentang apa yang baik dan buruk.

Babak-babak seks secara terbuka (eksplisit) dan mengeksploitkan wanita sebagai daya tarikan oleh para penerbit dan pengeluar filem bukanlah sesuatu yang baru berlaku di dalam dunia perfilemen Malaysia. Bagaimanapun, babak-babak seks yang eksplisit melibatkan pelakon filem lucah telah merintis jalan yang akan menggalakkan lagi para penerbit dan pengeluar filem akan datang untuk menerbitkan lebih banyak lagi filem yang memuatkan babak-babak lucah yang lebih eksplisit pada masa akan datang.

PENZINAAN DAN BABAK-BABAK LUCAH YANG EKSPLISIT

Sebagaimana yang dipaparkan di dalam trailer filem tersebut, mereka tidak segan silu melakonkan adegan-adegan berahi dan terang-terang bersifat kelucahan eksplisit di kalangan para pelakonnya. Ini bukan sahaja menghantar mesej bahawa persetubuhan haram dan perzinaan itu boleh diterima, tetapi juga menggalakkan dan malah menormalisasikan lagi tingkahlaku seksual dan perzinaan.

Sesetengah orang akan beralasan bahawa itu adalah sesuatu yang normal. Akan tetapi ia adalah salah dan tidak berakhlak sama sekali bagi kebanyakan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama, secara khususnya kepada umat Islam, yang seolah-olah menjadi penonton sasaran filem ini.

PENGNORMALISASIAN KARYA-KARYA PORNOGRAFI

Kesan yang paling penting dan paling memudaratkan ialah melibatkan PELAKON PORNOGRAFI di antara barisan pelakonnya. Justeru itu meluluskan filem ini untuk ditayang dan ditonton oleh rakyat Malaysia secara umum telah sebenarnya meghantar satu MESEJ YANG SANGAT KUAT DAN JELAS. Kepada REMAJA LELAKI, pornografi semakin dinormalisasikan dan menjadi sebati.

Bagaimanapun kepada REMAJA PEREMPUAN, kesannya adalah lagi kejam kerana ia menghantar mesej bahawa adalah okay untuk membiarkan orang lain mengeksplot, menjadikan sebagai objek dan menjual tubuh badan mereka sebagai batu loncatan untuk menjadi masyhur dan kaya.

Maka kepada para pelakon yang mendakwa sebagai Melayu dan Muslim, inilah besarnya kemudaratan yang anda semua bersubahat dan sedang sokong, meskipun anda bukanlah orang yang melakonkan babak-babak seks tersebut. Tetapi anda sebenarnya sedang mendokong naratif dan mesej ini. Belum terlambat lagi untuk memohon maaf dan menarik balik sokongan anda semua.

MELAYU ADALAH PENONTON SASARAN

Meskipun adegan-adegan lucah dan perzinaan ini tidak dilakonkan oleh pelakon-pelakon beragama Islam, aksi-aksi mereka masih lagi mensasarkan masyarakat awam dan penonton Melayu, ditambah lagi filem ini menggunakan dialog Bahasa Melayu. Justeru itu umat Islam memang berhak untuk memboikot, memprotes dan mendesak supaya dibatalkan tayangannya kepada umum oleh kerana ia disasarkan kearah mereka.

MELETAKKAN SATU CONTOH IKUTAN (PRECEDENCE) KEPADA PENGELUAR-PENGELUAR FILEM AKAN DATANG

Sejak sekian lama pawagam-pawagam Malaysia telah dibanjiri oleh syarikat-syarikat produksi filem yang mengeksploitasi unsur-unsur seks dan menjadikan wanita sebagai objek seks dan eksploitasi untuk meraih keuntungan, dari mengeksploitasikan keganasan rumahtangga, menormalisasikan rogol dan babak-babak seks terbuka dan terang-terangan di pawagam-pawagam.

Dahulu kita mungkin tidak mempunyai suara, tetapi kini tidak lagi. Sebagaimana kita telah menyuarakan bantahan terhadap tayangan filem-filem berunsur seks sebelum ini, kkta akan terus menerus menyuarakan bantahan kita hari ini. Sekiranya filem ini tidak diharamkan dari media arus perdana tempatan, ia sudah pasti akan meletakkan satu tanda aras (benchmark) baru yang akan mendorong dan menggalakkan pengeluar-pengeluar filem akan datang supaya menerbitkan filem-filem yang mengandungi lebih banyak adegan dan babak seks yang eksplisit.

KESIMPULAN

Terakhir dan yang tidak kurang penting ialah, tanpa mengira latarbelakang agama, ini adalah satu urusan melbatkan sifat malu/maruah (modesty) dan memelihara generasi muda kita dari syarikat-syarikat filem yang hanya bertujuan untuk mengaut setinggi-tinggi keuntungan. Janganlah kita tertipu dengan hakikat dan wajah sebenar mereka – yakni satu muslihat murahan oleh segelintir usahawan (businessmen) untuk menjadikan wanita sebagai objek seks dan mengeksploitasikan tubuh badan wanita di hadapan penonton mata keranjang dan bangang.

– Diterjemahkan daripada status asal Bahasa Inggeris tulisan Nabel Imran Wonderman (https://www.facebook.com/nabelImran/posts/pfbid0qVU6byMnAtgKejEVzWDQV5TvDxcTdQYdPTR99f3wCQ2V74Hzq1QZSZfgq3BdLvKrl) to

Saya tertarik untuk menterjemahkan dan memberi ulasan kepada tulisan yang ringkas dan bernas ini dalam konteks kontroversi yang ditimbulkan dan juga maklumbalas dari Lembaga Penapis Filem (LPF) sendiri yang tidak menganggap bahawa filem ini sebagai sebuah filem lucah tetapi sebaliknya filem seram sahaja.

Banyak pihak juga telah memberi komen dan maklumbalas tentang filem ini – dari penerbit, para pelakon, pengkritik filem dan tidak ketinggalan Netizen di alam maya.

Saya mempunyai pandangan yang berbeza dari mereka.

Dan saya bersetuju sepenuhnya dengan apa yang ditulis oleh saudara Nabel. Meskipun ringkas (4 noktah sahaja), saudara Nabel telah berjaya mengungkapkan poin-poin besar secara subjektif dan menyeluruh.

Saya hanya ingin memberi sedikit ulasan tambahan sahaja:

Pertama: Trailer filem ini tidak boleh diulas secara terpencil sahaja, kononnya ia hanya mencerminkan satu persepuluh sahaja dari seluruh jalan cerita, atau ia hanyalah sebuah karya untuk menyemarakkan lagi industri filem tempatan dan bahawa para pelakon Melayu beragama Islam tidak ada kena mengena dengan babak-babak kontroversi tersebut ataupun juga tidak melanggar norma-norma akhlak dan tatasusila sebagaimana yang dibalas oleh LPF.

Hujah bahawa trailer filem tersebut tidak perlu dikontroversikan adalah sangat dangkal. Meskipun dikhabarkan bahawa penerbit telah menarik balik dan mengeluarkan trailer baru yang lebih “sopan”, ia hanyalah sekadar satu “afterthought”, setelah diasak dan dikecam oleh rakyat Malaysia dan orang awam.

Kenapa perlu ada trailer seperti itu sejak awal lagi?

Adakah pihak penerbt/pengeluar/pengarah cuba menduga respon dari para penonton melalui strategi “pushing the envelope” atau beranggapan bahawa ia sudah menjadi amalan lumrah di mana rakyat dan penonton sudah tidak sensitif dengan adegan-adegan seumpama itu dan justeru itu boleh dipaparkan untuk tontonan semua orang (termasuk kanak-kanak)?

Pihak pengeluar ataupun pengarah filem-filem bergenre seperti ini sangat gemar menggunakan dalil kebebasan berkarya, seni tidak boleh dikawal oleh agama, penonton sudah matang, kebebasan untuk memilih dan menghormati hak untuk menikmati filem atau arya pilihan sendiri dan seumpamanya.

Para pelakon juga sering memberi alasan bahawa mereka hanya mengikuti arahan sang sutradara dan skrip dan masyarakat tidak berhak mengadili atau menjadi “polis akhlak” serta tidak perlu ke pawagam sekiranya tidk suka dengan filem tersebut. Hujah-hujah seperti ini sudah ketinggalan zaman.

Bukankah lebih baik kalau mereka berterusterang sahaja dengan mengatakan bahawa agama tidak perlu masuk campur dalam urusan yang berkait industri hiburan?!

Kedua: Fenomena di atas tidak menghairankan, oleh kerana ia sangat bersangkut paut dengan agenda normalisasi dan ideologi liberal yang sangat anti agama (baca: agama Islam) yang melihat bahawa agama (Islam)lah yang mejadi batu penghalang terbesar terhadap perancangan untuk mendominasi dan juga menguasai puncak-puncak kuasa.

Kepada ahli-ahli politik berfahaman liberal, sekular dan sosialis yang menjulang demokrasi Barat, para pemikir, cedekiawan dan gerakan-gerakan sivil atau hak asasi manusia (termasuk kumpulan-kumpulan pendesak feminis) dan sebahagian dari umat Islam sendiri, agama (Islam) merupakan entiti yang menghalang berleluasanya hawa nafsu dan keserakahan mereka untuk menyesatkan umat dan bangsa. Nilai akhlak, warisan tradisi, adat ketimuran, kesopanan dan kesusilaan … semua ini merupakan tradisi lapuk yang perlu dihapuskan (atau dikorbankan) sekiranya mereka ingin melihat kemerdekaan dan kebebasan (mengikut corak dan piawaian tamadun Barat) dapat berkembang maju dan bertapak kukuh dalam masyarakat.

Ketiga: Pulau bukan sebuah filem nasional mahupun membawa sebarang citra dan nilai tempatan. Ia tidak lebih dari menonjolkan falsafah yang tidak ada sebarang nilai positif kepada pembangunan jiwa dan pembentukan kehormatan insan.

Kita tidak perlu menonton keseluruhan filem tersebut untuk memahami nilai-nilai bobrok yang dibawa olehnya. Satu-satunya dorongan di sebalik pembikinan filem komersial tersebut adalah pulangan modal dan keuntungan kewangan semata-mata. Tidak ada sebarang manfaat dari sudut akhlak mahupun kerohanian yang boleh digarap daripadanya, meskipun mereka mungkin mendakwa sebaliknya.

Sekiranya tubuh badan wanita perlu dieksploitasi untuk tujuan tersebut, mereka akan berbuat demikian. Tidak ada apa yang dipanggil sebagai garispanduan moral atau sistem nilai di dalam pembikinan sesebuah karya atau filem yang menjadikan wanita sebagai objek tontonan hawanafsu dan mengeksploitasi wanita untuk melariskan penjualan tiket dan keuntungan pelaburan.

Najis yang dihias secantik mana dan disembur dengan pewangi yang paling harum sekalipun tetap kekal dalam kenajisan dan kebusukannya!

Berada di majlis yang yang sama di mana najis berkenaan dihidangkan juga merupakan satu tanda kerelaan, penerimaan dan bersubahatnya para hadirin.

Satu pemerhatian terakhir: Pihak manakah yang sebenarnya akan mendapat mudarat dan dimangsakan nanti?

Adakah kita akan turut menyumbang kepada berkembangnya gejala kerosakan umat dan bangsa?

Mohd Lutfi Abdul Khalid
Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button