Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Puad sindir PAS akan ‘sedekah’ lagi PRN nanti

'Aktiviti edar tin milo sudah lama dibuat, mungkin bantu kumpul duit sedekah'

BANGI, 3 Rejab 1444H, Rabu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, PAS akan sekali lagi memberikan ‘sedekah’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini kerana, dakwanya, sehingga kini tiada tindakan tegas diambil terhadap parti itu – yang menganggap pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika pilihan raya lalu adalah sedekah.

“Oleh kerana belum ada tindakan terhadap sedekah PAS, sudah tentu PAS akan melipat-gandakan sedekah di PRN enam negeri akan datang.

“Apatah lagi PAS masih banyak duit untuk disedekahkan. Menurut pemimpin PAS, aktiviti mengedar tin milo sudah lama dibuat. Ia bantu PAS kumpul duit mungkin bilion ringgit untuk disedekahkan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tegas mengambil tindakan supaya kejadian itu tidak berulang.

“Oleh kerana SPRM sudah kata sedekah waktu pilihan raya adalah rasuah, maka diharap SPR dan SPRM bertindak keras terhadap aktiviti sedekah PAS semasa PRN nanti,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemimpin PAS boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.

Beliau berkata, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

“Tidak mengapa jika mereka menggunakan istilah seperti sedekah. Ia tetap rasuah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kami sudah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan ketika dan selepas pilihan raya dan kami akan menyiasat setiap kes yang dirujuk kepada kami,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button