Anwar kata PAS terlewat suarakan pendirian tindakan Islamofobia
Kerajaan terlebih dahulu nyatakan bantahan malah sudah hubungi Duta Sweden

BANGI, 4 Rejab 1444H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PAS terlewat menyuarakan pendirian berhubung tindakan Islamofobia yang berlaku di Sweden, baru-baru ini berikutan kerajaan campuran hari ini sudah terlebih dahulu membuat kenyataan berkenaan
Namun, tiada halangan kepada PAS untuk melakukan himpunan solidariti bagi membantah tindakan biadab ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran, katanya.
“PAS ada hak untuk berbuat demikian. Tiada isu mengenai protes (yang akan diadakan esok), mereka harus tunjukkan pandangan mereka.
“Jika PAS mahu lakukan begitu, mereka boleh lakukan tapi kerajaan telah membuat bantahan malah sudah hubungi Duta Sweden dan nyatakan dengan jelas pendirian Malaysia.
“Kenyataan kita amat tegas tetapi PAS agak terlewat untuk nyatakan pendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran himpunan solidariti anjuran Dewan Ulama PAS Pusat, esok bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin politik Sweden, baru-baru ini.
Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya berkata, himpunan solidariti itu akan bermula di KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden.
Anwar sebelum ini menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Paludan yang membakar al-Quran dan menggesa Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku bagi memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara itu.
“Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian bahawa amat penting memartabatkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang pertikaian,” katanya.
Justeru, beliau menggesa komuniti antarabangsa menolak sikap perkauman dan agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, malah kekal bersatu menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan.