Berita Utama

PN sedia terima KJ sekiranya digugur oleh Lembaga Disiplin UMNO

Bekas Menteri Kesihatan dilihat mampu laksana tugas dengan cemerlang

BANGI, 4 Rejab 1444H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) terbuka menerima kehadiran Khairy Jamaluddin menyertai pakatan itu sekiranya beliau digugurkan keahliannya oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Jemputan berkenaan disuarakan sendiri Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sambil berkata bekas Menteri Kesihatan itu boleh memilih untuk menyertai mana-mana gabungan dalam parti berkenaan.

“Seluruh kepemimpinan PAS dan PN menganggap penyertaan Khairy dalam gabungan itu diibaratkan sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

“Pimpinan parti dalam PN sentiasa bersikap terbuka dan penyertaan mana-mana pemimpin politik atau individu untuk bersama melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Beliau pada masa sama menyifatkan bekas Ahli Parlimen Rembau yang berkhidmat selama tiga penggal itu sebagai pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab dengan cemerlang.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, status keahlian Khairy Jamaluddin diketahui selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang semalam namun ditangguhkan esok.

Khairy, sebelum ini didakwa menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.

Sementara itu, Khairy pula menghargai di atas jemputan berkenaan namun menegaskan akan kekal dengan  UMNO.

“Saya ucap terima kasih atas pelawaan PAS untuk sertai PN tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa UMNO.”katanya.

Pautan berkaitan;

Status KJ dalam UMNO diketahui petang ini

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button