Berita Utama

Tak puas hati keputusan PRU15, bawalah ke mahkamah

Failkan kes, tunjuk bukti jika benar berlaku rasuah: Fadillah

BANGI, 4 Rejab 1444H, Khamis – Individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta mengaitkannya dengan amalan rasuah disaran supaya memfailkan pendakwaan di mahkamah dengan segera.

Dengan memfailkan kes, pihak terbabit juga boleh membawa bukti dakwaan PRU patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dalam proses pilihan raya Malaysia, jika dapat buktikan mereka boleh failkan di mahkamah, ini prosedurnya dan ikutilah.

“Tapi kalau sekadar cakap, saya kira mungkin ramai yang boleh cakap, tapi nak bawa ke mahkamah itu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan segala peraturan kita.

“Jadi bawalah kalau siapa tidak puas hati dan buktikan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PRU15 adalah yang paling teruk berikutan semua calon yang menang disebabkan kerana mengamalkan amalan rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa sogokan dilakukan secara terbuka dan calon parti membelanjakan wang yang banyak untuk berkempen adalah punca membolehkan mereka menang dalam PRU.

Katanya, merasuah pengundi kini sudah menjadi kebiasaan dan pengundi pula mengharapkannya selain wakil parti menganggap itu sebagai tugas mereka.

Malah, beliau mendakwa, mereka yang melihat rasuah itu merasakan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pemilihan.

“Terdapat sedikit atau tiada percubaan untuk disembunyikan kerana wang itu diberikan dan arahan mengenai simbol yang perlu dipangkah dalam slip mengundi.

“Pencegah rasuah dan polis pasti melihat perbuatan rasuah itu, tetapi sehingga kini tiada sesiapa yang telah ditangkap atau didakwa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button