Berita UtamaDunia

Taliban akan benarkan wanita terlibat aktiviti kemanusiaan

Walau terdapat kebimbangan keselamatan, penyertaan wanita mampu selamatkan lebih ramai nyawa

KABUL, 4 Rejab 1444H, Khamis – Taliban akan merangka garis panduan baharu bagi membolehkan kaum wanita di negara itu terlibat dengan aktiviti kemanusiaan.

Pendedahan berkenaan dibuat oleh Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths selepas menerima maklum balas daripada menteri-menteri Taliban susulan rundingan yang diadakan di Kabul, minggu lalu.

“Wanita sangat memainkan peranan penting dalam menyampaikan bantuan, walaupun terdapat kebimbangan penyertaan golongan berkenaan membahayakan operasi kemanusiaan, namun ia mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa di negara ini.

“Tindakan ini akan memudahkan pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memandangkan banyak program kemanusiaan akan diadakan sepanjang tahun ini,” kata Griffiths.

Mengulas lanjut, katanya, pelbagai agensi berkaitan akan menyediakan aktiviti kemanusiaan bagi membantu 28 juta rakyat atau separuh daripada populasi penduduk di negara ini berikutan keadaan musim sejuk melampau.

Malah, sejak dua minggu lalu lebih 126 rakyat dilaporkan terkorban akibat kesejukan melampau, rebah akibat hipotermia dan kesan asap toksik daripada bahan pemanas.

Bagaimanapun, tiada bantuan disalurkan oleh pihak NGO yang terlibat dalam aktiviti kemanusiaan berikutan tiada agihan yang secukup dilakukan.

Sementara itu, seorang wanita warga emas, Qamal Gul di wilayah pedalaman di Parwan, meluah kesedihan kerana terpaksa meneruskan musim sejuk dalam keadaan sukar.

Lebih menyedihkan, wanita warga emas itu mengakui dirinya tidak menerima bantuan dan terpaksa berdepan musim kesejukan bersendirian dengan menggunakan alat pemanas arang tradisional di rumahnya.

“Tiada agensi bantuan yang melawat kami di sini malah pihak kerajaan juga sudah melupakan kami dan tidak melihat kesusahan kami,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button