AS digesa henti guna senarai pantauan pengganas
Pendedahan bukti FBI sasar masyarakat Islam secara tak seimbang

WASHINGTON, 5 Rejab 1444H, Jumaat – Kumpulan hak asasi Islam terkemuka menggesa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghentikan penggunaan senarai pantauan ‘pengganas’ yang telah digunakan kerajaan selama beberapa dekad.
Gesaan itu dibuat susulan selepas kebocoran besar-besaran senarai larangan terbang kerajaan AS, yang dikatakan hampir kesemua nama terdiri daripada warga Arab dan muslim.
Minggu lalu, seorang penggodam Switzerland dilaporkan mendapat akses kepada dua senarai, senarai larangan terbang dan senarai terpilih, selepas syarikat penerbangan serantau AS meninggalkan mereka pada pelayan data yang dibiarkan terdedah di internet awam.
Senarai yang berasal dari 2019 itu mengandungi kira-kira 1.5 juta nama.
Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) – yang memperoleh salinan senarai itu – berkata, kandungan menunjukkan kebanyakannya mengandungi nama Islam dan Arab, membuktikan bahawa FBI menyasarkan masyarakat Islam secara tidak seimbang.
“Malah, semakan sepintas lalu senarai itu menunjukkan kedua-duanya hampir keseluruhan mengandungi nama warga Arab dan muslim.
“Kanak-kanak yang berumur 10 tahun paling ramai pada masa itu berada dalam Senarai Larangan. Seorang kanak-kanak berumur 7 tahun berada dalam Senarai penerima,” kata Justin Sadowsky, peguam perbicaraan Cair dalam satu kenyataan.
Senarai larangan terbang ialah subset kecil Pangkalan Data Saringan Pengganas kerajaan AS, yang juga dikenali sebagai senarai pantauan pengganas.
Senarai itu dikatakan mengandungi maklumat mengenal pasti ‘pengganas yang diketahui atau disyaki’.
Sementara itu, salah sebuah syarikat penerbangan mengesahkan kepada The Daily Dot, sebuah syarikat media yang berpangkalan di Texas, bahawa senarai itu adalah versi ‘senarai larangan terbang persekutuan’ dari 2019, bermakna Pangkalan Data Saringan Pengganas mungkin lebih besar daripada senarai 1.5 juta penyertaan yang telah bocor.
FBI berkata, pihaknya tidak mempunyai ulasan lanjut mengenai kebocoran itu.
Umat Islam telah lama menentang penggunaan senarai itu kerana ia melucutkan hak orang ramai untuk mengembara tanpa mengemukakan bukti jelas terhadap mereka. – Agensi