Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Bakar al-Quran: Gabungan 30 NGO serah nota bantahan ke Kedutaan Sweden

Tindakan kerajaan Sweden berbahaya walau atas nama kebebasan

KUALA LUMPUR, 5 Rejab 1444H, Jumaat – Lebih 30 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Kedutaan Sweden di sini hari ini, bagi menyerahkan nota bantahan terhadap tindakan kerajaan Sweden membenarkan ahli politik pelampau Rasmus Paludan membakar kitab suci Islam, al-Quran di Stockholm, Sabtu lepas.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, nota bantahan itu diserahkan kepada wakil Duta Sweden di Malaysia Dr Joachim Bergstrom.

“Kami minta supaya mereka akur bahawa apa yang dilakukan pihak sana (kerajaan Sweden) adalah berbahaya walaupun atas nama kebebasan,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan nota bantahan di Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, di sini, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark itu yang membakar naskhah al-Quran di Sweden dan menjelaskan terdapat begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.

Pada Ahad, Anwar dilaporkan bukan sahaja mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu malah, menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara tersebut.

Paludan, dari parti politik Denmark, Hard Line atau Stram Kurs diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button