Berita Utama

Tak perlu sibuk urusan TPM, Bersatu bersiaplah ke mahkamah

Isham bidas semula Faizal Azumu isu permohonan pasport Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 5 Rejab 1444H, Jumaat – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil meminta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak mencampuri urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau dalam kenyataan hari ini membidas kembali kenyataan Ahmad Faizal yang menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan daripada tugas Timbalan Perdana Menteri, ekoran isu permohonan pemulangan pasportnya yang didakwa atas alasan kepentingan negara.

Ahmad Faizal dalam kenyataan semalam, meluahkan kebimbangan jika permohonan pemulangan pasport itu dibenarkan akan melewatkan proses perbicaraan kes mahkamah Ahmad Zahid.

Justeru, beliau menggesa supaya Presiden UMNO itu direhatkan daripada tugas Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah, seterusnya membuktikan Ahmad Zahid tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan yang disabitkan.

Menurut Ahmad Faizal, tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan telus tanpa sebarang campur tangan serta penangguhan.

Bagaimanapun, Isham tampil membidas kenyataan bekas Ahli Parlimen Tambun itu dan menegaskan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah hak serta budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.

“Daripada kamu sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan-pendakwaan terpilih oleh pemimpin-pemimpin dari parti kamu dulu.

“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi kluster mahkamah 2.0 kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Beliau mendakwa, Bersatu sewaktu berada dalam kerajaan juga banyak berdepan kes salah laku yang sepatutnya diberi perhatian oleh Ahmad Faizal.

“Sebab sebelum ini semasa parti kamu dalam kerajaan, puak-puak kamu banyak terlepas dari pendakwaan kes jenayah apabila wakil-wakil rakyat kamu melompat parti. 

“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah? 

“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button