Berita Utama

Kor Ming dakwa pihak kritik idea bawa masuk pakar Singapura hipokrit

Belajar daripada negara lain khususnya negara Asia bukanlah sesuatu yang janggal

BANGI, 6 Rejab 1444H, Sabtu – Menteri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan tindakan segelintir pihak mempertikaikan usaha kementeriannya mengimport pakar perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HBD) sebagai hipokrit.

Beliau berkata, pihak yang sekarang mempertikai tindakan kementerian itu dahulunya pernah mengadakan lawatan ke Singapura juga untuk belajar daripada HDB.

“Dahulu dia gagal untuk belajar dan sekarang bila kita hendak belajar, mereka pula yang membuat tuduhan tidak senonoh. Ia menunjukkan sebenarnya sikap ‘double standard’ sebegini sepatutnya tidak wujud.

“Yang penting, saya yakin pegawai di kementerian kita memang ada kepakaran sendiri tetapi kita juga ada kelemahan yang boleh diperbaiki,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Menjelaskan pendirian kementeriannya, Kor Ming berkata, belajar daripada negara lain khususnya negara Asia bukanlah sesuatu yang janggal memandangkan Malaysia sedia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur iaitu dengan belajar dari Jepun sejak 41 tahun yang lalu.

Katanya, Malaysia mempunyai banyak pengalaman mengadakan kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G) bukan hanya dengan Singapura.

Malah, Malaysia turut belajar dengan negara lain di rantau Asean khususnya seperti Thailand dan Indonesia sejak era 1970-an.

“Bukan saja Singapura, malah kerajaan terdahulu pun ada mengambil perunding dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat malahan tahun ini sebenarnya adalah ulang tahun ke-41 Dasar Pandang ke Timur.

“Jika dengan Jepun kita boleh belajar mengapa tidak boleh dengan Singapura selagi mana ia baik dan memanfaatkan rakyat? Seperti saya katakan sebelum ini, sebenarnya perkongsian ilmu dan kepakaran adalah sentiasa dialu-alukan.

“Apatah lagi HDB Singapura diiktiraf sebagai antara agensi perumahan terbaik di dunia,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan kepada ahli politik yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat susulan membawa masuk pakar dari HDB Singapura untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.

Jelasnya, hubungan bersama pihak HDB Singapura telah dimulakan sejak 2018 apabila bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu bersama delegasi menyertai lawatan ke Singapura.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button