Berita UtamaDunia

New Zealand isytihar darurat di Auckland ekoran hujan lebat

Kediaman dinaiki air, pihak berkuasa terpaksa potong bekalan elektrik

AUCKLAND, 6 Rejab 1444H, Sabtu – New Zealand mengisytiharkan bandar terbesar di Auckland sebagai darurat selepas hujan lebat berterusan hingga menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah.

Bencana itu menyebabkan banyak kediaman dinaiki air, menghalang lalu lintas sekali gus memaksa pihak berkuasa memotong bekalan elektrik di rumah dan premis perniagaan atas dasar keselamatan.

Pada masa sama, lapangan terbang bandar itu ditutup sementara setelah dinaiki air setinggi buku lali di beberapa terminal.

Berikutan keadaan itu, pihak berkuasa lapangan terbang berkata, tidak akan ada penerbangan masuk atau keluar dari kemudahan itu sepanjang hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Auckland, Wayne Brown mengesahkan penemuan dua mayat di Wairau Valley di North Shore.

Sehingga kini, polis belum mengesahkan sama ada penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan banjir atau tidak.

Manakala Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins, yang baru mengangkat sumpah Rabu lalu selepas peletakan jawatan mengejut Jacinda Ardern berkata, agensi kerajaan itu sedang berusaha untuk membantu semua rakyat di negara itu.

“Saya dinasihatkan bahawa pergerakan di sekitar Auckland kekal sukar,” katanya yang terpaksa menangguhkan lawatannya ke Auckland.

Hipkins berkata, pusat pengurusan krisis kebangsaan, yang terletak di bawah bangunan Parlimen di ibu negara Wellington turut membantu menyelaraskan tindak balas kecemasan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar mempertahankan tindakannya selepas ramai yang mengecam kerana terlalu lambat mengisytiharkan darurat di bandar berkenaan.

Namun, beliau menjelaskan tindakan demikian dibuat selepas mendapat nasihat daripada pasukan pakar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button