Berita UtamaDunia

17 termasuk 5 kanak-kanak maut serangan udara di Sudan

Pertempuran antara tentera, RSF masuk bulan ketiga

KHARTOUM, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Pergolakan di Sudan semakin parah apabila serangan udara di selatan Khartoum menyebabkan 17 orang termasuk lima kanak-kanak terbunuh dan 25 rumah musnah.

Kementerian Kesihatan Khartoum mengesahkan laporan sukarelawan tempatan itu, ketika pengantara mendorong puak yang berperang ke arah gencatan senjata baharu.

Serangan itu adalah yang terbaru dalam siri serangan udara dan artileri ke atas daerah miskin dan padat penduduk di bandar itu di mana kebanyakan penduduk tidak mampu menampung kos hidup.

Pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera memasuki bulan ketiga tanpa kedua-dua pihak mendapat kelebihan yang jelas.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peperangan itu menyebabkan 2.2 juta rakyat Sudan kehilangan tempat tinggal, membunuh ratusan orang dan menyebabkan wilayah Darfur berdepan ‘malapetaka kemanusiaan’.

Tentera mempunyai kelebihan kuasa udara di Khartoum dan bandar jirannya Omdurman dan Bahri, manakala RSF telah meletakkan pasukannya di kawasan kediaman kejiranan.

Pada Jumaat dan Sabtu lalu tentera meningkatkan serangan udara di beberapa kawasan perumahan.

Dalam ucapan yang disiarkan oleh tentera, jeneral tertinggi, Yassir Al-Atta memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi rumah yang diduduki RSF.

“Kerana pada ketika ini, kami akan menyerang mereka di mana-mana sahaja.

“Antara kami dan pemberontak ini adalah peluru,” katanya seperti menolak percubaan pengantaraan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button