Berita Utama

PN anggap fitnah sengaja dicipta burukkan imej menjelang PRN

Pelbagai jenis bekas, tabung buluh, tin untuk kutip sumbangan kepada parti

BANGI, 6 Rejab 1444H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kritikan buruk dan fitnah terhadap gabungan itu adalah semata-mata mahu memberi imej buruk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perbuatan jahat itu sengaja dicipta bagi menampakkan PAS dan PN bukan parti yang bersih di mata pengundi.

“Timbul pelbagai dakwaan oleh pihak musuh kononnya parti itu menerima dana tidak sepatutnya termasuk daripada syarikat judi dan tauke-tauke besar untuk dibelanjakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“PAS dikatakan menyogok pengundi hingga jumlah undi diperolehi parti ini tinggi. Kita pun tak tahu dari mana angka mereka dapat tetapi yang pasti, semua itu hanyalah fitnah dilempar terhadap PAS.

“PRN dah dekat, jadi untuk pastikan PRN ini PAS dan PN tidak lagi dilihat sebagai parti bersih, mereka cipta pelbagai tuduhan termasuk PAS menerima dana-dana tidak sepatutnya sewaktu hadapi PRU-15,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Yahaya berkata, musuh-musuh politik kini sedang berusaha keras untuk melemahkan kekuatan PAS dan PN.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan pengundi pada PRU lalu telah membuat penilaian terhadap parti-parti politik bertanding.

“Kalau sebut Pakatan Harapan (PH), mereka dah tahu latar belakangnya dan kalau sebut Barisan Nasional (BN), lagilah orang kenal.

“Kedua-dua gabungan itu memiliki pelbagai beban hingga akhirnya rakyat melihat hanya PAS dan PN saja yang bersih serta berintegriti selain mampu memberi tawaran-tawaran hebat juga prihatin,” katanya.

Justeru, beliau mahu menjadikan majlis-majlis yang diadakan dijadikan platform untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang berlegar terhadap PAS terutamanya berkaitan dana diterima.

“Malam ini kita buat secara terbuka sedangkan sebelum ini, sudah berapa banyak kutipan dana dibuat secara sembunyi-sembunyi.

“Hakikatnya di rumah-rumah terdapat tabung buluh, tin, pelbagai jenis bekas disediakan semata-mata untuk menyumbang kepada parti serta jemaah dan terbukti, sumbangan itulah menyebabkan PAS boleh berbelanja sewaktu PRU lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button