Berita Utama

Shahidan minta yang disingkirkan bersabar

Label UMNO parti tak siuman, PN jamin bela nasib pemimpin dipecat

BANGI, 6 Rejab 1444H, Sabtu – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan pihaknya akan membela bekas pemimpin UMNO yang dipecat daripada parti.

Kesediaan itu disuarakan selepas beberapa ahli UMNO yang dilabel sebagai pengkhianat dan didakwa mensabotaj parti dipecat dan digantung keahlian, semalam.

Shahidan yang juga sebelum ini digugurkan daripada UMNO meminta ahli-ahli yang mengalami nasib sama agar bersabar dengan apa yang berlaku.

“Sebuah parti tidak siuman sedang ghairah pecat orang. Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Shahidan ketika memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau tidak dipilih mengekalkan kerusinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Susulan itu, beliau bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada PRU15. Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan beliau digugurkan keahliannya daripada UMNO.

Semalam, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dipengerusikan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menyingkirkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Turut mengalami nasib sama adalah bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar selepas meminta dirinya dipecat kerana tidak mahu dirinya digantung selama enam tahun.

Selain itu, ahli-ahli UMNO yang digantung keahlian termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli MKT UMNO, Fathul Bari Mat Jahya, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button