Berita Utama

DAP bimbang tindakan UMNO pecat, gantung ahli jejas kerajaan

Berisiko beri kesan pada sokongan pengundi Melayu terhadap PH

BANGI, 7 Rejab 1444H, Ahad – Parti tamak haloba, DAP bimbang tindakan UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan campuran – yang didominasi Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berkata, tindakan itu hanya memburukkan lagi prestasi UMNO yang lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

“UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.

“Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan Bersatu, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran tindakan Presiden UMNO ketika ini, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Beliau berkata, tindakan UMNO juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.

Malah, beliau mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Ramasamy menasihatkan kepimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.

Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button