Dunia

Pengganas Israel culik 7 pelajar Palestin

Ceroboh, geledah kem pelarian Jenin hingga seorang ditahan

TEBING BARAT, 17 Syawal 1443H, Rabu – Rejim haram Israel berterusan agresif dan semakin mengganas apabila menceroboh rumah penduduk Palestin dan kem-kem pelarian. 

Terbaharu, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin dari pelbagai bahagian di wilayah yang diduduki ditangkap pasukan pengganas Israel sejak malam tadi hingga hari ini.

Menurut sumber, tentera pengganas Israel menahan dua rakyat Palestin dari Hebron di daerah selatan Tebing Barat.

Di daerah Bethlehem, tentera Israel menangkap seorang penduduk di rumahnya dan dua yang lain di kampung Harmala, selepas menceroboh serta menggeledah kediaman mereka.

Di utara Tebing Barat, sumber mengesahkan serbuan dibuat ke atas bandar Rafat, barat Salfit yang membawa kepada penahanan seorang penduduk Palestin.

Askar Israel turut menangkap seorang lagi rakyat Palestin dari kampung Tell di daerah Nablus.

Sepasukan tentera Israel turut menyerbu kem pelarian Jenin, selain menceroboh dan menggeledahnya sebelum membawa kepada penahanan seorang penduduk.

Serbuan sama turut dilakukan di bandar al-Yamoun dan turut menahan seorang rakyat Palestin.

Petang semalam, tentera Israel menangkap 12 penduduk di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Pasukan khas Israel menyelinap masuk ke kampung Dura al-Qari di timur Ramallah, dan menculik lapan rakyat Palestin termasuk tujuh pelajar sarjana muda di Universiti Birzeit.

Dua lagi dikenal pasti sebagai penduduk bandar Husan, barat Bethlehem – yang ditahan di pintu masuk bandar itu.

Sementara itu, seorang wanita dari selatan Jenin ditahan ketika melawat anaknya di penjara Megiddo, dan seorang penduduk Palestin di sekitar Pintu Damsyik di Baitulmaqdis.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button