Berita Utama

Imej Fathul Bari terjejas kerana sikap gelojoh Puad

'Usah jadi hero dahului SUA UMNO, mohon maaf secara terbuka'

BANGI, 7 Rejab 1444H, Ahad – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diingatkan supaya tidak berlagak menjadi hero hingga mendahului kepimpinan UMNO, khususnya Setiausaha Agung parti dalam mengeluarkan kenyataan.

Puad sebaliknya perlu membuat permohonaan maaf secara terbuka berikutan kenyataan yang mengeliru dan palsu berkaitan status keahlian Datuk Fathul Bari Mat Jahaya.

Pegawainya, Adnan Abu Bakar berkata, Fathul Bari tidak pernah disenaraikan dalam kalangan pemimpin parti yang dikenakan tindakan disiplin sehingga diminta untuk tunjuk sebab atau digantung.

“Dr Puad Zarkashi perlu memohon maaf dan membuat kenyataan rasmi tentang kesalahan beliau menulis nama Dr Fathul Bari sebagai salah seorang dari mereka yang digantung keahlian.

“Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab kerana kenyataan rasmi UMNO Malaysia yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan tidak langsung menyebut nama Fathul Bari, sama ada tunjuk sebab atau digantung.

“Kenyataan ini mengelirukan, palsu dan seolah-olah cuba ditokok tambah untuk niat tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Puad mengeluarkan kenyataan menyatakan Fathul Bari adalah salah seorang daripada ahli UMNO yang terlibat dan diberikan surat tunjuk sebab.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kredibiliti Fathul Bari kini sudah terjejas kerana sikap gelojoh Speaker Dewan Undnagan Negeri (DUN) Johor itu.

“The damage is done! Mohon maaf secara terbuka dan perbaiki semula nama baik Dr Fathul Bari. Tidak cukup sekadar tulisan ringkas ralat semata-mata.

“Saya berharap Dr Puad mengambil serius dan memperbaiki semula kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Adnan menegaskan pemimpin berusia 66 tahun itu tidak perlu mendahului tugas Setiausaha Agung (SUA) dan menjadi hero dalam mengeluarkan kenyataan penting.

“Jangan kerana nak jadi hero, sampai mengetepikan peranan SUA dan KPEN. Ini organisasi UMNO, bukan JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas),” sindirnya.

Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button