Keputusan MKT UMNO tak patuhi proses perundangan: Ismail Sabri
'Jawatankuasa disipilin tak pernah nasihat presiden untuk sebarang tindakan'

BANGI, 7 Rejab 1444H, Ahad – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak bersetuju dengan keputusan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin parti itu.
Beliau berkata, terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung keahlian kesemua pemimpin terbabit.
Bahkan katanya, alasan pemecatan dan penggantungan juga dibuat tidak mematuhi proses perundangan serta bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti hak membela diri.
“Dalam isu ini, tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka dan tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut.
“Jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi, tuduhan perlu dibuktikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Ismail Sabri, jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka cadangan perlu diberikan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.
Katanya, jawatankuasa pengurusan UMNO pula perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Tertinggi (MT) untuk keputusan.
“Proses ini tidak dilaksanakan. Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.
“Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka.
“Sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan,” katanya.
Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecat keahlian Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Mesyuarat itu juga turut menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang serta Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif selama enam tahun.