Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Keputusan pecat, gantung ahli UMNO ikut perlembagaan parti

Proses tindakan hanya perlu dirujuk kepada MT sahaja, kata Isham

KUALA LUMPUR, 5 Rejab 1444H, Ahad – Pemecatan dan penggantungan beberapa ahli UMNO seperti diumumkan parti itu Jumaat lepas adalah sah di sisi Perlembagaan UMNO, undang-undang dan peraturan, kata Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.

Beliau berkata, berdasarkan makluman peguam UMNO dan mengikut Perlembagaan UMNO, proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) sahaja.

Isham yang juga Ahli MT UMNO berkata, proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya, sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

“Oleh itu, apabila Majlis Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat MT UMNO pada Jumaat menyatakan Ahli MT Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dipecat atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO.

Turut dipecat ialah lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif digantung hak dalam parti selama enam tahun.

Menurut Ahmad antara kesalahan mereka ialah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.

Isham berkata, beliau yakin Lembaga Disiplin UMNO telah meneliti laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum membuat keputusan selain menekankan Ahli MT UMNO tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan yang dilakukan.

Tambahnya, Noh, Khairy dan lain-lain masih boleh bertemu Lembaga Disiplin, membela diri dan merayu beberapa kali.

“Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button