Turkiye minta rakyatnya waspada ketika kunjungi negara EU
Bimbang ancaman Islamofobia, perkauman yang makin memuncak

ANKARA, 7 Rejab 1444H, Ahad – Kementerian Luar Turkiye mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya lebih berhati-hati ketika berkunjung ke negara Kesatuan Eropah (EU), berikutan ancaman Islamofobia dan perkauman yang memuncak kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian menegaskan keadaan kini berada di tahap bahaya, termasuk propaganda penyokong kumpulan pengganas, PKK.
Justeru, rakyat Turkiye yang merancang melawat negara EU diminta untuk lebih berwaspada dan mengelak mengunjungi kawasan yang memihak kepada ideologi berkenaan.
Kementerian turut menyarankan rakyat Turkiye segera menghubungi pasukan keselamatan atau terus ke kedutaan sekiranya berdepan situasi sukar sepanjang berada di negara-negara terbabit.
Amaran berkenaan dikeluarkan kementerian susulan insiden demonstrasi anti-Islam terutama di Sweden.
Sebelum ini, Turkiye mengutuk pihak berkuasa Sweden yang gagal mengambil tindakan ke atas pemimpin politiknya kerana bertindak biadab membakar naskhah al-Quran minggu lalu.
Usaha Sweden untuk menjadi ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berdepan jalan buntu apabila hubungan tegang sejak dua minggu lalu akibat propaganda anti-Türkiye di negara itu, yang baru-baru ini memuncak susulan kejadian pembakaran al-Quran oleh pemimpin politik Sweden, Rasmus Paludan.
Terdahulu, Kementerian Luar Sweden, Norway dan Denmark mengeluarkan nasihat perjalanan, menyeru rakyat mereka untuk mengelakkan perhimpunan besar di Türkiye di tengah-tengah ketegangan yang berterusan – Agensi