Anwar amal nepotisme, utamakan kroni jawatan utama negara
Izzah tiada kredibiliti jadi Penasihat Kanan Ekonomi PM

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, dianggap tidak layak kerana negara memiliki ramai lagi pakar ekonomi dan tokoh kewangan dunia yang lebih baik.
Amat menjengkelkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anak sendiri, walhal masih ramai anak tempatan yang lebih sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad mengakui sangsi ldengan kredibiliti anak sulung Perdana Menteri itu, memandangkan Izzah tidak pernah memegang jawatan utama dalam kerajaan.
“Nurul Izzah merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik dari universiti Tenaga Nasional (UNITEN) , bukan berlatar belakangkan ekonomi mahupun kewangan.
“Beliau tidak pernah memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri atau Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan atau seumpama dengannya,” katanya.
Bahkan, Lukman berkata, Nurul Izzah juga bukan pemain industri, bekas ketua pegawai eksekutif di syarikat nasional atau mana-mana badan penasihat ekonomi terkemuka.
“Hakikatnya, ramai lagi profesor, pakar ekonomi dan tokoh kewangan dunia yang terdiri dari anak tempatan layak menasihati Perdana Menteri,” tegasnya.
Beliau pada masa sama menyifatkan Anwar mengamalkan Nepotisme kerana mengutamakan kroni sendiri dalam jawatan utama negara.
“Jika ini bukan nepotisme, saya tidak tahu apa lagi terminologi yang sesuai untuk pelantikan ini.
“Anwar berlakon bersih, tapi perangainya lebih teruk daripada pemimpin-pemimpin negara sebelumnya,” katanya.
Pelantikan Izzah terus mendapat kritikan, namun dilaporkan Anwar ‘mempertahankan’ keputusannya dengan menyatakan pihak yang mempertikai kelayakan akademik anaknya itu mungkin tidak teliti.
Dakwa Anwar, beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan tetapi menjadi pernah menteri kewangan selama lapan tahun.